Selasa, 18 Oktober 2016

Sebulan Bekerja Sebagai Pemetik Buah Di Australia Buat Saya Sedar Akan Realiti Ini


Ramai anak muda kita tertarik dengan gaji lumayan sebagai pemetik buah di Australia yang menjanjikan pendapatan sehingga RM10 ribu sebulan. Sehinggakan ada yang sanggup untuk menggadaikan kereta atau meminjam wang daripada rakan-rakan dan saudara demi mengejar peluang keemasan itu.

Namun, sejauh manakah ketelusan tawaran pekerjaan itu dan adakah ia bebas daripada penipuan? Adakah mereka berjaya untuk melepasi imigresen Australia yang begitu ketat bagi merealisasikan impian mereka?

Ikuti pengalaman saya sendiri semasa bekerja di negara kanggaru itu selama sebulan.



Sejujurnya, faktor gaji lumayan mendorong saya mencuba nasib di Australia. Kebetulan pula saya mempunyai rakan yang telah lama bekerja di sana dan dia yang banyak membantu dalam mencari pekerjaan.

Berbekalkan 400 dolar di tangan dan harapan tinggi menggunung saya membawa diri ke Perth. Saya ditempatkan di ladang sayur kira-kira sejam perjalanan dari bandar.

Di situlah tempat saya tinggal dan bekerja. Saya perlu menjalani latihan selama 2 minggu di ladang sayur kepunyaan orang Malaysia sebelum ditempatkan di sebuah ladang beri biru berdekatan dengan kawasan rumah.

Saya sampai pada bulan Ogos, iaitu bulan terakhir dalam musim sejuk. Namun cuaca di sana sangat sejuk kerana kedudukan jauh di pedalaman. Suhu pada awal pagi sangat sejuk dan beransur-ansur panas pada waktu tengahari tetapi kehadiran angin sejuk cukup membuatkan saya menggigil dan kemudiannya ia kembali sejuk pada waktu malam.

Kadangkala suhu pada waktu malam boleh mencecah 5 darjah selsius. Krim perlindungan matahari amat diperlukan jika bekerja di ladang kerana sinaran UV amat tinggi ketika cuaca terik. Jadi, jangan tertipu dengan angin sejuk walaupun matahari berdiri tegak di atas langit.

Setiap mereka yang bekerja di ladang ini akan ditempatkan di rumah sewa dan perlu membayar sewa bulanan sebanyak 100 dolar seminggu. Rumah kami mempunyai lebih kurang 5 bilik dan setiap bilik memuatkan 5 hingga 6 orang dan keadaan rumah tidak kurang seperti rumah setinggan di Malaysia.

Hanya terdapat 2 tandas yang digunakan untuk 30 orang. Bayangkan, bagaimana kami perlu mengatur waktu mandi kami pada setiap hari. Dapur berkonsepkan terbuka membuatkan kami kesejukan jika memasak pada waktu pagi dan malam.

Kami selalu sahaja berdepan masalah bekalan elektrik terputus dan kebanyakan berlaku pada waktu pagi ketika kami masih diulit mimpi. Bayangkan bagaimana kami tidur dalam kesejukan.

Pemanas juga tidak disediakan dan kami terpaksa membeli sendiri. Saya tidur berbekalkan dua sleeping bag dan memakai seberapa banyak baju untuk kekal panas.

Semasa latihan 2 minggu di ladang sayur, saya menaiki traktor dan kereta untuk ke tempat kerja yang terletak dekat dengan tempat tinggal saya. Waktu berkerja tidak tentu bergantung kepada budi bicara supervisor.

Kadang-kadang berkerja mulai jam 7.30 hingga 8 pagi dan berakhir pada sekitar jam 4 hingga 6 petang.




Cabaran bekerja di negara asing

Di Australia, kita dilayan seperti kuli dan kudrat kita dikerah sepenuhnya bagi memenuhi standard mereka yang tinggi. Tidak kira hujan panas, kerja perlu disiapkan dengan cepat dan berkualiti.

Majikan di sana tidak suka mereka yang lambat membuat kerja. Konsep cepat dan tepat digunapakai diseluruh Australia.

Pengalaman buruk saya ketika menanam kacang pada waktu hujan. Saya menggigil kesejukan dibasahi. Pada masa itu, tiada apa yang difikirkan melainkan ingin pulang semula ke tanah air. Namun, saya kuatkan semangat kerana saya tahu itu jalan yang dipilih.

Sebelum bekerja di ladang anda perlu tahu bahawa kerja di ladang juga terbahagi kepada 2 jenis. Pertama, gaji dibayar mengikut jam. Purata gaji dibayar 13-25 dolar sejam dan waktu berkerja 6 hingga 8 jam. Semua kerja perlu dilakukan dengan pantas.

Kedua, gaji dibayar secara kontrak mengikut berapa banyak buah yang dikutip. Ia juga bergantung kepada ladang dan bos itu sendiri. Mengikut pengalaman rakan saya yang pernah bekerja di ladang strawberi, dia dibayar lebih kurang 1.40 dolar setiap bakul strawberi yang berjaya dikutip. Gaji bergantung kepada tahap kelajuan anda untuk mengutip seberapa banyak buah yang anda mampu.

Saya bernasib baik kerana diberi kerja berdasarkan kontrak. Seminggu bekerja di sana sama dengan kerja sebulan di Malaysia. Makanan halal juga mudah didapati dan barangan dapur di sana murah dan saya mampu makan mewah setiap minggu berbanding di Malaysia.

Nasihat saya kepada anda yang ingin bekerja di Australia, sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang keburukan. Realiti menjadi pemetik buah tidak seindah seperti yang anda sangka.

Anda perlu berkerja keras untuk mendapatkan hasil lumayan.

Semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing. Ada yang datang ke Australia gagal mendapatkan pekerjaan, ada yang hanya bekerja beberapa jam setiap minggu dan yang mana bernasib baik dapat bekerja setiap hari dalam masa yang tetap. Nasib setiap orang berbeza-beza dan jangan membandingkan diri dengan orang lain.

Ada juga mereka yang menjadi mangsa penipuan ejen dan terpaksa pulang dengan tangan kosong. Bagi saya, pemergian ke sana adalah atas risiko anda sendiri dan tidak perlu menyalahkan sesiapa. Jika anda berjaya melepasi imigresen Australia, anda cukup bernasib baik.

Rezeki itu akan datang samada lambat atau cepat. Hanya mereka yang hati kental sahaja dapat bertahan.

Berada di sana sebulan cukup menginsafkan diri saya. Saya belajar untuk mensyukuri, menghargai dan berterima kasih atas apa yang saya ada dan jangan memandang rendah pada mereka yang berada di bawah.

Sumber: Thevocket.com

0 comments:

Posting Komentar

Mohon komentarnya untuk postingan ini :)