Senin, 24 Oktober 2016

Setelah Lama Berdiam Diri, Akhirnya Faizz Nur Buat Kenyataan Rasmi


KENYATAAN RASMI
FAIZZNUR

Assalamualaikum w.b.t

Saya mengambil pendekatan ini untuk memberikan penjelasan mengenai sidang media yang dilakukan oleh kakak saya, Datin Yusnidah dan abang ipar saya, Dato Roslan, seterusnya ulasan yang dikeluarkan oleh netizen terhadap saya. Saya bukanlah gemar membuka permasalahan keluarga untuk dijadikan tatapan dan sajian umum, tetapi melihat kepada tuntutan semasa dan tuduhan yang dilemparkan terhadap saya yang dirasakan terlampau berat dan apabila semua cerita yang diviralkan merujuk kepada sebelah pihak sahaja, memerlukan saya untuk tampil memberikan penjelasan. Namun saya tidak akan membuat kenyataan balas sidang media kerana kes ini masih berjalan di mahkamah dan tindakan membuat kenyataan balas tersebut adalah satu kesalahan yang menghina mahkamah (contempt of court).

Kemalangan yang meragut jiwa abang saya dan isterinya pada tanggal 2 May 2015, cukup memberi kesan yang amat mendalam kepada kami sekeluarga dan saya merupakan antara adik beradik yang paling rapat dengan arwah.

Setelah tersebarnya berita kemalangan tersebut, ramai rakyat Malaysia yang perihatin memberikan sumbangan ikhlas kepada Amira dan Aqila. Sepanjang arwah abang saya dan arwah isterinya masih hidup, mereka dan anak-anak tinggal bersama mak saya dan saya. Amira dan Aqila membesar bersama-sama saya kerana kami tinggal di rumah yang sama.

Arwah abang saya menjalankan perniagaan yang menguruskan permit dan visa dan saya menolong arwah abang saya menguruskan perniagaan tersebut. Arwah telah meletakkan kepercayaan kepada saya untuk meneruskan legasi dan saya telah mengembangkan perniagaan tersebut.

Selepas pemergian arwah, Amira dan Aqila tinggal bersama saya dan mak saya. Selepas itu, kedua-dua keluarga disebelah pihak ayah dan ibu Amira dan Aqila telah berbincang mengenai penjagaan Amira dan Aqila.

Mak saya (nenek kepada Amira dan Aqila di sebelah ayah mereka – arwah abang saya) meminta izin Pn Wirda (nenek kepada Amira dan Aqila di sebelah ibu – arwah kakak ipar saya) untuk menjaga dua anak ini dan mak saya ada menyatakan hasratnya untuk mempertanggungjawabkan penjagaan Amira dan Aqila bersama-sama Alang iatu abang no. 3 saya, kerana, Alang merupakan seorang bapa yang sangat tegas dalam mendidik anak-anak, dan kesemua anak-anak Alang cemerlang dalam bidang akademik dan ada yang menghafaz 30 juzuk al-quran dan isteri Alang juga ialah dua pupu kepada arwah ibu Amira dan Aqila. Kami sekeluarga amat mementingkan tentang hala tuju pendidikan yang terbaik untuk anak-anak ini.

Sewaktu perbincangan dijalankan, semua ahli keluarga bersetuju termasuk kakak saya, Datin Yusnidah mengenai penjagaan Amira dan Aqila yang akan dijaga oleh Mak saya dan Alang serta isteri.

Namun, seminggu selepas pemergian arwah abang saya, Kakak saya, bertegas untuk membawa pulang kedua-dua anak ini ke rumah mereka. Apabila, kami sekeluarga (mak dan adik beradik yang lain) ingin membawa Amira dan Aqila pulang kepangkuan neneknya untuk dijaga bersama-sama Alang, kakak saya sering menyatakan alasan seperti membawa mereka berjalan-jalan, membawa berjumpa artis dan sebagainya.

Tidak lama selepas itu, mak saya jatuh sakit dan kakak saya Datin Yusnidah pada ketika itu bertindak membuat tuntutan di mahkamah tanpa berbincang dengan mak dan adik-beradik yang lain bagi menuntut hak penjagaan sementara bagi Amira dan Aqila dan mahkamah memberikan hak penjagaan sementara kepada Kakak saya, Datin Yusnidah.

Pada ketika itu, Dato Roslan iaitu abang ipar saya, ada menelefon saya ada menyuruh saya untuk memberikan keseluruhan duit derma rakyat Malaysia kepadanya, untuk diuruskan memandangkan beliau sedang menjaga Amira dan Aqila pada waktu itu. Pada hemat saya dan adik-beradik lain ketika itu, kakak saya hanya mendapat hak penjagaan sementara, dan saya hanya akan menyerahkan keseluruhan wang itu selepas keputusan mahkamah terhadap hak penjagaan kekal yang akan dikeluarkan (Yang masih lagi berjalan di mahkamah).

Pada tanggal Ogos 2015, sekali lagi kami kehilangan insan tersayang iaitu mak kami yang tercinta

Memandangkan usia kanak-kanak ini masih kecil, perancangan yang betul perlu dilakukan dalam menguruskan urusan perbelanjaan Amira dan Aqila. Kami bersepakat adik beradik (kecuali kakak saya) perbelanjaan diberikan mengikut keperluan semasa anak-anak tersebut.

Saya menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh kakak saya yang hanya RM12,000 diberikan.

Begini ceritanya.

Kakak saya meminta wang sebanyak RM12,000 daripada pemberian derma untuk digunakan bagi tujuan perbelanjaan menunaikan haji badal (arwah bapa dan arwah ibu, Amira dan Aqila), fidyah dan wakaf selebihnya untuk kegunaan membeli barang keperluan Amira dan Aqila dan kami adik beradik sepakat memberi kepadanya.

Tidak terhenti disitu sahaja.

Selepas itu, duit belanja Amira dan Aqila diberikan secara konsisten kepada Amira dan Aqila. Pemberian duit belanja ini ada direkodkan dan duit belanja yang diserahkan kepada kakak saya ditandatangani oleh kakak saya sendiri sebagai bukti penerimaan dengan saksi yang turut menandatangani dokumen tersebut.

Disamping itu juga, kakak saya Datin Yusnidah dan Dato Roslan ada membuat tuntutan lain di mahkamah termasuk tuntutan insurans peninggalan arwah, penjagaan anak, tuntutan nafkah, tuntutan faraid dan segala kes ini masih lagi berjalan di mahkamah dan tiada sebarang keputusan akhir lagi dibuat dan bertentangan seperti apa yang telah dihebohkan.

Mengenai tuntutan insurans, setelah perbincangan bersama peguam pemerhati Mr Leo, kami sekeluarga bersetuju (termasuk Datin Yusnidah), tuntutan insurans hanya akan dilakukan selepas perbicaraan kes MyV berakhir. Namun, selepas kakak saya, mendapat hak penjagaan sementara, dia telah bertindak membuat tuntuntan insurans peninggalan arwah Abang saya secara menerus, bercanggah dengan apa yang telah dipersetujui oleh kami sekeluarga sebelum ini iaitu tuntutan insurans hanya akan dibuat selepas segala kes mahkamah selesai.

Mengenai isu mufti yang dibangkitkan, saya meminta maaf diatas salah faham yang ditimbulkan oleh Datin Yusnidah dan saya menafikan kenyataan tersebut kerana saya tidak pernah membuat sebarang kenyataan seperti yang telah dihebohkan.

Cukup lah saya nyatakan bahawa netizen dan rakyat Malaysia perlu faham, memang mudah untuk mana-mana pihak membuat sebarang tuduhan yang tidak berasas dan memutar-belitkan fakta apabila pihak yang dituduh tidak diberikan ruang untuk membela diri secara telus dan rasional. Kerana itulah perkara ini selayaknya diadili oleh mahkamah yang mulia dan bertauliah, yang akan mendengar dan mengadili fakta dan bukti kedua belah pihak, dan saya tidak boleh diadili oleh mahkamah pendapat umum (court of public opinion).

Tambahan lagi kes ini melibatkan permasalahan keluarga dan hanya keluarga kami sahaja yang tahu segala kisah disebaliknya dan aib pelbagai pihak yang tidak perlu didedahkan.

Sebagai waris keluarga lelaki yang amat menyayangi Amira dan Aqila saya telah cuba untuk mempertahankan dan menjaga kebajikan mereka dan kami adik beradik yang lain sepakat menyokong Puan Wirda (nenek kepada Amira dan Aqila – sebelah arwah ibu mereka) untuk menjaga Amira dan Aqila dan saya serta keluarga akan akur dengan segala keputusan mahkamah yang mulia demi memelihara masa depan dan kepentingan anak-anak ini.

Terima kasih Datin Yusnidah diatas keperihatinan anda menyelesaikan masalah keluarga dengan cara sebegini, secara terancang bersama-sama suami anda, Dato Roslan.

Along, Alang dan Adik (saya) hanya menjalankan tugas secara tegas.

Kini, segalanya sudah tercalar.

Maruah keluarga diruntun dan dipertontonkan secara terbuka.

Bukan ini yang Arwah Mak dan Arwah Uda inginkan.

Bukan ini ajaran Arwah Abah.

Bukan ini yang kita pinta.

Terima kasih.
Faizznur
23 Oktober 2016


Sumber: Faizz Nur

0 comments:

Posting Komentar

Mohon komentarnya untuk postingan ini :)