Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata meski bacaan tidak akan serendah 20 darjah Celsius pada Februari ini, tetapi suhu boleh menjadi rendah pada sebelah subuh hingga awal pagi di sesetengah tempat.
Namun suhu rendah itu hanya bersifat sementara, jelas jabatan itu lagi, mengulas laporan Kosmo! yang menyebut kawasan tinggi di Perak dan Kelantan “bakal menikmati cuaca sejuk dan nyaman seperti musim bunga di kota London.”
“MetMalaysia menafikan kejadian suhu minimum turun sehingga 20 darjah Celsius sepanjang bulan Februari 2016 seperti yang dilaporkan di dalam akhbar tempatan.
“Ia mengambil kira fenomena El Nino yang sedang berlaku sekarang,” kata jabatan itu dalam satu jawapan bertulis kepada ProjekMMO.
“Walaubagaimanapun, suhu boleh menjadi rendah pada sebelah subuh hingga awal pagi di sesetengah tempat tetapi bersifat sementara.”
Dalam kenyataan berasingan lewat petang ini, Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan El Nino menyebabkan suhu biasa negara ini naik antara 0.5 hingga 2.0 darjah Celsius sehingga Jun.
Akhbar Kosmo! melaporkan suhu di dua negeri itu akan turun sehingga 20 darjah Celcius sepanjang Februari disebabkan angin sejuk dari kawasan kutub utara terkumpul terlalu lama, justeru mengakibatkan laluan luruan angin.
“Dalam beberapa hari lagi, luruan angin itu akan sampai ke utara semenanjung Malaysia terutamanya di kawasan pedalaman sekitar Perak dan Kelantan disebabkan faktor geografi yang beraltitud tinggi.
“Namun begitu, negeri-negeri seperti Perlis, Kedah dan sebahagian kawasan tanah rendah di Perak dijangka kurang terkesan dengan angin sejuk itu ekoran dipengaruhi suhu laut Lautan Hindi,” lapor itu lagi.
Cuaca sejuk itu dijangka bawah suhu kebiasaan di Cameron Highlands dan Genting Highlands yang hanya mencatatkan suhu 22 hingga 24 darjah Celsius.
Beberapa bandar di negara ini pernah mengalami cuaca sejuk pada 2014 dengan Kuala Krai di Kelantan mencatatkan suhu sekitar 17 darjah Celsius.
Dua tahun lalu, menurut Kosmo! lagi, bandar-bandar lain yang mengalami suhu rendah termasuklah Alor Setar (20.4 darjah Celsius), Kuantan (20.8 darjah Celsius), Kota Baru (21.0 darjah Celsius), Subang (21.9 darjah Celsius), Ipoh (22.3 darjah Celsius), Kuching (22.3 darjah Celsius), Kota Kinabalu (22.6 darjah Celsius) dan Melaka (22.8 darjah Celsius).
Sumber: Themalaymailonline.com
0 comments:
Posting Komentar
Mohon komentarnya untuk postingan ini :)