Sabtu, 12 November 2016

Punca Sebenar Lelaki Dibunuh Dan Dikerat 10 Dikenal Pasti


TANGKAK – Gara-gara berebut seorang janda muda, seorang pemandu jengkaut dibunuh dalam keadaan mayatnya dikerat lebih sepuluh bahagian di Jalan Kesang Laut di sini, Ahad lalu.

Mangsa, Omar Miskam (gambar), 49, dipercayai ditetak di bahagian kepala terlebih dahulu di lokasi mayatnya ditemukan oleh seorang penghuni rumah yang juga ahli keluarga suspek utama.

Lebih mengejutkan, suspek utama berusia 19 tahun yang juga pelajar sebuah Pusat GiatMara di sini turut dibantu janda terbabit yang berusia 23 tahun serta seorang lagi lelaki berumur 56 tahun.

Ketua Polis Daerah, Supe­rin­­­tenden Mohad Idris Samsuri berkata, ketiga-tiganya direman sehingga 13 November depan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek utama yang juga orang kurang upaya (OKU) itu turut memiliki satu rekod jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut pada 2013.

“Mayat mangsa dikerat lebih 10 bahagian termasuk kepala, kedua-dua kaki dan tangan, abdomen serta beberapa bahagian lain dan bedah siasat mengesahkan mangsa mati terlebih dahulu akibat ditetak dengan parang.

“Kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah malam 31 Oktober hingga awal pagi ke­esokan hari sebelum mayat tersebut ditemukan Ahad lalu pada pukul 3.15 petang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Mohad Idris, mangsa yang berasal dari Kampung Su­ngai Alam, Panchor dekat Muar sudah beristeri namun masih belum dikurniakan cahaya mata.

Kata beliau lagi, janda terbabit yang juga pelajar sebuah Kolej Komuniti dipercayai turut membantu suspek utama pada hari ke­jadian sebelum seorang lagi le­laki membantu untuk membuang mayat.

“Lelaki tersebut yang juga bapa saudara suspek utama dipanggil ke lokasi untuk meminjamkan van bagi membuang mayat terbabit tetapi dipercayai tidak jadi dan mayat itu hanya disorokkan di pembetung di rumah itu.

“Pada malam kejadian, ahli keluarga suspek utama turut berada di rumah namun tidak mendengar dan mengetahuinya kerana hujan lebat ketika itu,” katanya.

Tambahnya, polis turut merampas sebilah parang, sebatang cangkul, sembilan buah telefon bimbit, dua buah kereta dan sebuah van dan motosikal. - Utusan Malaysia

0 comments:

Posting Komentar

Mohon komentarnya untuk postingan ini :)